http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Janjikosong/Article
Johor: Janji kosong
Oleh Kalam Hadi
2010/07/2663 nelayan Kampung Plentong tunggu wang pampasan daripada syarikat korek pasir sejak 2009.PLENTONG: Penantian 63 nelayan pinggir pantai di Kampung Plentong Tengah dekat sini, untuk mendapatkan wang pampasan seperti dijanjikan syarikat menjalankan kerja mengorek pasir bagi mendalamkan Sungai Plentong sejak setahun lalu, bagaikan menunggu buah tidak gugur.
Nelayan terbabit mendakwa syarikat yang mengendalikan kerja membersihkan Sungai Plentong bagi kerja penebatan banjir gagal menunaikan janji walaupun beberapa siri pertemuan dan rundingan diadakan antara wakil nelayan dengan wakil syarikat terbabit.
Pengerusi Pangkalan Nelayan Kampung Plentong Tengah, Abdul Rahim Salam, 58, mendakwa sejak kerja mengorek dan mendalamkan Sungai Plentong yang dijalankan tahun hidupan sungai semakin pupus sehingga menjejaskan teruk pendapatan nelayan.
Katanya, ketika ini 63 ahli nelayan kampung Plentong Tengah masih menunggu janji syarikat Inai Kiara Sdn Bhd membayar wang pampasan sebanyak RM50,000 seperti dijanjikan pada pertemuan nelayan dengan wakil syarikat pada 28 April 2009 di Balai Raya Kampung Plentong Tengah.
Abdul Rahim berkata, pada pertemuan itu, pihak syarikat pada asalnya bersetuju untuk membayar pampasan sebanyak RM15,000 kepada nelayan terbabit berikutan pencemaran Sungai Plentong yang menjejaskan pendapatan nelayan.
"Perbincangan turut dihadiri ahli lembaga pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Selatan dan Ketua Kampung. Bagaimanapun, kami mendesak supaya pampasan ditambah.
"Syarikat terbabit bersetuju untuk menambah sebanyak RM50,000 lagi yang menjadikan jumlah keseluruhan pampasan sebanyak RM65,000. Syarikat terbabit juga bersetuju untuk membayar wang berkenaan sebanyak dua kali iaitu bayaran pertama pada 15 Mei dan bayaran kedua pada 16 Jun lalu.
"Namun, sehingga kini kami menunggu bagaikan buah tidak jatuh sedangkan syarikat terbabit meminta untuk membuat pembayaran pada tarikh baru iaitu 30 Jun lalu. Ketika dihubungi sekali lagi, wakil syarikat menetapkan pula tarikh bayaran baru iaitu 17 Julai lalu.
Setiausaha Pangkalan Nelayan Kampung Plentong Tengah, Mahathir Mohd. Zain, 51, berkata, pihaknya sehingga kini hanya berurusan dengan akauntan yang dilantik oleh syarikat terbabit sedangkan ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan sehingga kini tidak muncul untuk menjelaskan kedudukan sebenarnya.
Oleh itu, beliau menggesa Menteri Besar dan Ahli Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap soal kebajikan nelayan supaya campur tangan bagi membantu menyelesaikan isu berkenaan daripada berterusan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Jaya, Tan Cher Puk ketika dihubungi berkata, beliau akan mendapatkan maklumat lebih terperinci berhubung isu berkenaan sebelum membuat sebarang tindakan.
Katanya, beliau sedang berusaha untuk bertemu dengan pengurusan syarikat Inai Kiara Sdn Bhd bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu berkenaan.